Your Title

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) memindahkan tolok hujan ke puncak Gunung Inas bagi membolehkan anggaran jumlah yang lebih tepat diperoleh.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata buat masa ini, tolok hujan itu dipasang di kawasan kaki gunung.

“Tolok hujan yang berada di kaki gunung itu menyebabkan jumlah hujan yang turun di kawasan puncak tidak dapat dianggarkan dengan tepat sebab itu, KASA perlu pindahkan tolok berkenaan ke kawasan yang lebih tinggi bagi mengetahui jumlah hujan yang lebih tepat.

“Perkara ini perlu dilakukan kerana kejadian banjir lumpur kerap sangat berulang terutama setiap kali hujan lebat dan itu telah menjejaskan penduduk di kawasan jajaran Sungai Kupang,” katanya ketika mengulas mengenai insiden banjir di Baling pada Selasa lepas.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Kedah Sempena Sukan Malaysia 2022 di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata pihaknya juga telah mengarahkan mereka yang terlibat agar mempercepat proses memindahkan pasir di Sungai Kupang di Lata Chelak, Kampung Iboi bagi mengelakkan insiden banjir lumpur berulang.

“Proses ini perlu dipercepat bagi mengelakkan timbunan pasir di sungai itu dihanyutkan semula ke dalam sungai apabila hujan lebat. Saya telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Baling menyegerakan kerja mengangkut pasir di sepanjang tebing Sungai Kupang.

“Dahulu kedalaman sungai ini tidak kurang 10 kaki dari jalan tetapi sekarang sudah hampir paras jalan. Kalau mereka perlu kerja 24 jam sekalipun, buatlah supaya proses mendalamkan sungai ini dapat dipercepat sebagai usaha untuk mengelakkan kejadian banjir berulang,” katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan penduduk di kawasan itu, beliau berkata 17 rumah yang berada di Zon Kuning akan dipindahkan ke kampung yang lebih selamat selepas proses pengambilan semula tanah selesai.

“Kita akan pindahkan mangsa yang berada di Zon Kuning ini sama seperti mangsa di Zon Merah sebelum ini. Jadi saya harap semua kerja dapat diselesaikan segera dan meminta semua mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir lumpur ini supaya bersabar kerana ia berlaku di luar kemampuan manusia,” katanya. - Bernama