• 2025-08-01 09:58 AM

PHNOM PENH: Kemboja bersetuju menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Thailand di Malaysia minggu ini bagi meneruskan rundingan damai demi menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara.

Ketika mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya pada 28 Julai lalu, kedua-dua negara mencapai persetujuan untuk mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata berkenaan.

Mesyuarat itu pada asalnya dijadual berlangsung pada 4 Ogos di Phnom Penh.

Bagaimanapun, pada Khamis, Thailand mengemukakan cadangan agar mesyuarat diadakan di Malaysia sebagai lokasi berkecuali dan tempohnya dipanjangkan daripada hanya satu hari perbincangan.

Agensi berita negara Agence Kampuchea Presse melaporkan bahawa kerajaan Kemboja telah bersetuju dengan permintaan Thailand.

“Kemboja bersetuju dengan cadangan Thailand untuk mengadakan mesyuarat GBC di Malaysia dan mencadangkan agar wakil daripada tiga negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat dan China (turut hadir sebagai pemerhati),” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Negara, Jeneral Tea Seiha.

Beliau turut bersetuju dengan tarikh baharu yang dicadangkan, iaitu dari 4 hingga 7 Ogos bagi membincangkan pertikaian sempadan yang mencetuskan ketegangan dan insiden pertempuran bersenjata pada 24 Julai lalu.

Pertempuran dihentikan pada tengah malam 28 Julai apabila Kemboja dan Thailand bersetuju untuk mengadakan rundingan gencatan senjata atas permintaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi itu telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara, yang beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik - BERNAMA