KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Persidangan Pembinaan Negara Bangsa pada Oktober ini sebagai langkah memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata persidangan itu akan menghasilkan Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa untuk dijadikan panduan jangka panjang.
“Konsep negara bangsa ini masih dalam perbincangan, dan kita akan menjemput tokoh sejarah serta pakar untuk sama-sama berbincang,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.
Selain itu, Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang selama empat hari bermula 17 Julai ini. Acara ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti Unity Walk, jualan MADANI, persembahan kebudayaan, dan pameran rumah etnik.
“Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi ketiga selepas Kuching dan Johor Bahru. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan sambutan pada 19 Julai,” tambah Aaron.
Antara segmen utama SMP 2025 termasuk pameran rumah 24 etnik, susur masa sejarah negara, serta ‘foodunites’ yang mempamerkan makanan warisan pelbagai kaum.