KUCHING: Kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini amat dinantikan penjawat awam di Sarawak yang menyifatkan berita gembira itu memberi kelegaan kepada mereka.

Penjawat awam di negeri itu turut bersyukur dengan kadar kenaikan gaji antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Pekerja hari ini.

Pembantu tadbir James Han, 37, berkata pengumuman berkenaan perkara yang dinantikan seluruh penjawat awam di Malaysia.

“Kenaikan ini ditunggu-tunggu semua, sebab gaji pokok dan elaun tetap sekarang tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

“Gaji sekarang masih di takuk lama sedangkan rakyat melalui pelbagai kenaikan harga barang dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Mudah-mudahan dapat lebih banyak supaya kita dapat merancang simpanan serta persediaan kecemasan,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Turut senada pembantu pembedahan pergigian Verona Edwin, 41, berkata sejak menyertai perkhidmatan awam 10 tahun lepas, buat kali pertama beliau akan merasai kenaikan gaji yang agak lumayan.

“Gaji pembantu tidak begitu tinggi namun saya tetap bersyukur ada kenaikan dan dengan kadar kenaikan lebih 13 peratus mulai Disember ini sedikit sebanyak dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat,“ katanya.

Seorang anggota polis, Henry Medang, 42, turut bersyukur dengan kenaikan itu yang dapat meringankan beban kewangannya.

“Ketika ini, gaji sedia ada sedaya upaya kita cukupkan untuk keperluan harian dan perbelanjaan bulanan sekeluarga. Dengan kenaikan yang lebih sedikit, duit ini boleh dijadikan sebagai simpanan kecemasan.

“Selain itu, gaji minimum yang melebihi RM2,000 itu juga langkah terbaik terutamanya bagi yang baharu bekerja dalam perkhidmatan awam berbanding gaji yang kami peroleh dahulu,“ katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata kenaikan gaji itu antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah oleh kerajaan MADANI dan jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus kira-kira 12 tahun lepas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam ialah RM1,795 sebulan.