IPOH: Kira-kira 70 murid terjejas susulan Jambatan Lama Sungai Slim runtuh akibat kejadian kepala air di Kg Ulu Slim minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata kesemua murid berkenaan merupakan pelajar empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Slim Village, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Slim Village, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ho Pin dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Zulkifli Muhammad.

“SK Slim Village terdapat 40 murid, SJKT Slim Village (9), SJKC Ho Pin (6) manakala SMK Dato’ Zulkifli Muhammad ada 15 murid yang mengalami kesukaran untuk ke sekolah masing-masing akibat jambatan yang runtuh.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim akan pastikan semua mereka dapat meneruskan pembelajaran termasuk dengan kaedah menumpang belajar di sekolah berdekatan,“ katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media penganjuran Karnival Mesra Anak Muda 2024 (KAMU 2024) yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 September ini di Stadium Indera Mulia Ipoh.

Khairudin menambah, inisiatif itu bagi memastikan murid yang terjejas dapat belajar sementara di sekolah lain supaya mereka boleh belajar secara bersemuka.

“Kita tidak mahu sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebab kita tahu PdPR mungkin ada masalah dari segi liputan rangkaian.

“Apa yang penting adalah mereka tidak keciciran dari segi pembelajaran sebelum pembinaan jambatan Bailey yang dijangka akan dapat disiapkan dalam masa terdekat,“ katanya.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata ketiadaan uniform bukan alasan tidak pergi ke sekolah kerana Kementerian Pendidikan (KPM) telah menggariskan bahawa murid dan pelajar masih boleh hadir dengan berpakaian sukan yang sesuai.

“Kita faham ada kalangan keluarga terjejas dan ketiadaan kelengkapan sekolah termasuk pakai sekolah dan PPD Muallim telah pun mengambil tindakan sewajarnya jika ada isu ketiadaan pakaian sekolah hingga mengakibatkan mereka tidak hadir ke sekolah.

“Kita beri kebebasan beberapa hari untuk pakai pakaian sukan, janji hadir ke sekolah dan belajar sebaik mungkin, malah saya nasihatkan ibu bapa dapat pastikan anak mereka hadir ke sekolah,“ katanya.