LAHAD DATU: Program Kitar Semula Bekas Racun Makhluk Perosak (RMP) akan dapat memastikan pelupusan bekas racun terpakai dilakukan secara sistematik dan selamat, seiring dengan peningkatan penggunaan bekas tersebut.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata program yang menyediakan platform pelupusan praktikal melalui pembinaan sangkar mengumpul bekas racun terpakai itu, dilaksanakan di tujuh lokasi ladang kelapa sawit di sini.
Beliau berkata Sabah antara negeri mencatatkan jumlah penggunaan racun perosak tertinggi, menyebabkan terdapat keperluan untuk kaedah pelupusan yang mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Penyediaan sangkar RMP di lokasi strategik juga memudahkan pekebun kecil kelapa sawit melupuskan bekas racun secara selamat,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di Ladang Rimmer, di sini hari ini.
Mohammad Yusof berkata bekas racun makhluk perosak terpakai diklasifikasikan sebagai Bahan Buangan Terjadual di bawah kod SW409, dengan pelupusan bekas itu perlu dilakukan di pusat berlesen Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menerusi program itu, sebanyak tujuh syarikat perladangan masing-masing menyumbang RM3,000 untuk pembinaan sangkar RMP di ladang kelapa sawit mengambil bahagian.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Lahad Datu, KL-Kepong (Sabah) Sdn Bhd Saparuddin Rabayani berkata pemilihan ladang mereka sebagai tuan rumah program berdasarkan rekod cemerlang syarikat dalam amalan kitar semula.
“Ladang KL-Kepong merupakan syarikat yang mengamalkan konsep kitar semula dalam kuantiti signifikan, menjadikan ladang ini sebagai contoh terbaik kepada syarikat perladangan lain,” katanya.