PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan sama ada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes pada hari ini selepas memanggil 28 saksi pendakwaan sepanjang 20 hari perbicaraan yang bermula pada 4 Feb lepas.

“Sekiranya tertuduh dipanggil untuk membela diri, perbicaraan bela diri bermula pada hari sama (21 Julai) hingga 24 Julai,“ katanya.

Mahkamah turut menetapkan 23 Mei untuk pemfailan hujahan bertulis oleh kedua-dua pihak, manakala 6 Jun bagi penghujahan balas.

Saksi yang dipanggil sepanjang perbicaraan termasuk individu pertama yang menjumpai mayat Zayn Rayyan iaitu Faizul Najib Abd Munaim, Auni Afiqah Abas yang merupakan pengasuh Zayn Rayyan, pakar perubatan perunding forensik Dr Rohayu Shahar Adnan, tiga pegawai penyiasat serta dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.

Terdahulu, Raja Zaizul Faridah memaklumkan semua 28 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dan pihaknya tidak bercadang memanggil saksi tambahan.

“Tiada lagi saksi lain yang akan dipanggil dan dengan ini kami menutup kes pendakwaan. Kami menawarkan 23 saksi kepada pihak pembelaan dan senarainya telah diberikan kepada mereka,” katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Ketika ditanya tentang bilangan saksi pembelaan yang mungkin dipanggil sekiranya kedua-dua tertuduh diperintah membela diri, peguam Ramzani Idris berkata pihaknya mungkin akan memanggil tujuh saksi.

Dalam prosiding ini, kedua-dua tertuduh turut diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Lavanesh Haresh.

Zaim Ikhwan dan Ismarina, masing-masing berusia 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.