PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengenal pasti pendekatan bersesuaian bagi memastikan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Felda Trolak, Perak, mendapat lebih ruang untuk mempamerkan bakat pada masa depan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah ini diambil selepas kejayaan cemerlang orkestra tersebut meraih Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech baru-baru ini.
“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memaklumkan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Kerajaan amat berbangga dengan pencapaian MAWO,” kata Fahmi dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau turut mengagumi semangat generasi muda Felda yang berjaya meraih markah tertinggi daripada juri profesional berdasarkan kualiti persembahan, kemahiran teknikal, dan penguasaan komposisi muzik bertaraf dunia.
“Yang menarik, mereka sebelum ini kurang mahir dalam alat muzik yang dimainkan.
“Namun, dalam tempoh singkat dengan bimbingan Orkestra RTM, mereka bukan sahaja berjaya mempersembahkan muzik dengan baik di Auditorium Seri Angkasa, malah menang anugerah berprestij di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
MAWO berjaya mengatasi tujuh kumpulan orkestra dari enam negara dalam kategori ‘middle class’, sekaligus menjadi wakil tunggal Asia yang berjaya di pentas global.
Festival tersebut dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan tahap kesukaran karya dan keupayaan teknikal peserta.
Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 berlangsung pada 20 dan 21 Jun lalu dengan penyertaan 13 kumpulan dari 11 negara.