NIBONG TEBAL: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada kenaikan harga gula di pasaran setakat ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Beliau menegaskan setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat di peringkat Kabinet untuk menaikkan harga gula, malah perkara itu juga sudah banyak kali diperjelas di Parlimen sebelum ini.

Fuziah menjelaskan bahawa spekulasi mengenai kenaikan harga gula itu timbul pada April lepas, susulan aduan daripada pihak industri yang memohon kerajaan untuk menaikkan harga gula selepas mendakwa mengalami kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap kilogram gula yang dikeluarkan.

“Tetapi, apa yang kita buat adalah kerajaan beri insentif RM42 juta sebulan kepada syarikat-syarikat ini untuk menstabilkan harga bekalan.

“Ini kerana kita tidak mahu nanti mereka rugi dan selepas itu tidak lagi keluarkan gula.

“Jadi kita bagi insentif supaya mereka keluarkan juga gula biarpun dalam keadaan mereka mengalami kerugian,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Hari Terbuka MySubsidi Diesel SKDS 2.0 (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata spekulasi tersebut ditimbulkan berikutan kerajaan pada masa itu tidak menetapkan berapa lama tempoh pemberian insentif berkenaan, namun ia masih diteruskan hingga ke hari ini.

April lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan kerajaan akan membuat keputusan berhubung mekanisme menstabilkan bekalan gula termasuk harga bahan pemanis itu pada suku kedua tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerajaan sedang menilai mekanisme, antaranya melibatkan cadangan simpanan stok gula, pemberian subsidi atau menaikkan harga kawalan daripada RM2.85 sekilogram pada masa ini.

Sementara itu, Fuziah menyarankan KPDN di setiap negeri supaya mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh berhubung pelaksanaan SKDS 2.0 bagi membolehkan penyampaian maklumat dapat dibuat secara lebih berkesan

Beliau berkata selain itu, ia juga memberi peluang kepada syarikat serta pemilik kenderaan yang layak memohon untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mahupun bertanyakan soalan secara bersemuka kepada pihak kementerian tentang pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Seperti hari ini, menerusi sesi libat urus yang diadakan kita dapat tahu ada di kalangan pemunya kenderaan yang tidak dapat subsidi, tak jelas mengenai pelaksanaannya, tak dapat kad fleet dan lain-lain, malah kita juga ada wakil daripada syarikat-syarikat minyak.

“Justeru saya berharap sesi ini dapat diteruskan supaya kita dapat dengar sendiri daripada pemegang taruh apa isu yang mereka hadapi,” katanya.

Fuziah dalam pada itu memaklumkan terdapat 570,000 kenderaan dikenal pasti tidak layak untuk menerima subsidi diesel.

“Alasan yang diberikan Kementerian Kewangan adalah kenderaan jenis itu tidak memberikan kesan terus kepada pengguna, jadi itulah sebab mereka dikecualikan daripada penyasaran subsidi. Selain itu, kita juga ada 470,000 kenderaan didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan yang layak menerima subsidi daripada 23 kategori yang telah dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa membuka ruang untuk perbincangan dengan mana-mana pihak, malah mereka yang gagal memohon atau tidak layak boleh membuat rayuan untuk pertimbangan jawatankuasa rayuan.