KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menjalankan siasatan berhubung kes kecurian emas dan pembalakan haram di tanah milik kerajaan negeri.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan hasil bumi yang juga harta rakyat.
Beliau menegaskan apa sahaja berkaitan harta kerajaan adalah serius dan perlu dibendung dari peringkat awal.
“Ada beberapa kes dilaporkan secara tidak rasmi, namun saya sudah arah pihak berkuasa termasuk Jabatan Perhutanan dan PTG menyiasat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat lengkap berhubung perlombongan haram atau aktiviti mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil.
Mohamed Fadzli menekankan kerjasama rakyat penting kerana pihak berkuasa mungkin sukar mengesan lokasi tertentu.
Penduduk tempatan boleh melaporkan jika melihat kenderaan keluar masuk atau aktiviti mencurigakan di kawasan terpencil.
Isnin lepas, polis menahan tiga warga asing dalam serbuan di ladang sawit di Sungai Seting, Gua Musang, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan melombong emas tanpa permit.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman SAC Rosli Md Yusof berkata dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia ditahan kerana tidak memiliki permit perlombongan serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan. – Bernama