• 2025-10-11 06:58 PM

IPOH: Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM34.81 juta bagi melaksanakan 137 projek pembaikan kecil pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara.

Peruntukan ini termasuk untuk lapan institusi di Perak sebagai usaha mengintegrasikan aspek kerohanian serta akhlak dalam sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan digunakan untuk kerja-kerja pembaikan segera kemudahan asas seperti bumbung, tandas dan bilik darjah.

Tujuannya adalah bagi memastikan keselesaan pelajar di institusi pondok dan tahfiz yang telah lama menjadi benteng kekuatan ilmu serta akhlak umat.

“Beberapa sekolah pondok, kita lihat keadaan itu sangat daif, jadi kita ada urutan beberapa pondok yang kita senaraikan sekarang, ada 137 pondok termasuk lapan pondok di Perak.

“Ini yang kita bagi keutamaan dulu dan saya sedang merencanakan selepas mengumumkan Belanjawan 2026 semalam, bagaimana boleh kita tambah supaya semua kemudahan itu sampai ke sekolah,” katanya ketika berucap pada Kenduri Rakyat Bersama Warga Institut Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di sini.

Beliau berkata keutamaan itu diberikan kerana kerajaan tidak hanya fokus kepada soal kemajuan, tetapi turut memberikan perhatian terhadap pembangunan rohani dan pendidikan anak-anak.

Ini sejajar dengan aspirasi pembangunan modal insan MADANI yang diperkenalkan kerajaan.

Anwar mengumumkan pemulihan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang pernah dihentikan sejak 2003 sebagai sebahagian dasar Kerajaan MADANI.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan komitmen Kerajaan Perpaduan mengembalikan peruntukan kepada sekolah-sekolah agama rakyat sejak 2022.

Anwar menyeru institusi pondok dan tahfiz di seluruh negara melakukan penyesuaian dengan perkembangan semasa melalui penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan.

Katanya penguasaan teknologi baharu itu penting bagi memastikan institusi pondok kekal relevan sebagai benteng akidah, akhlak dan pemikiran Islam.

“Pihak pondok dan pesantren harus terima kenyataan bahawa beberapa perubahan harus dilakukan tanpa mengganggu pengajaran tradisional,“ tegasnya.

Beliau mencadangkan penambahan kurikulum mengenai digital dan AI dalam sistem pendidikan pondok.

“Kalau pondok tidak menguasai digital teknologi, AI, orang yang menguasai AI itu akan tenggelamkan pondok sehingga penjajahan baharu,“ jelas Anwar.

Perdana Menteri menekankan kerajaan tidak berhasrat mengubah sistem pengajian tradisional pondok sedia ada.

Sebaliknya kerajaan menumpukan pada penambahbaikan kemudahan asas, perpustakaan dan makmal sains untuk pelajar pondok.

Anwar memaklumkan peruntukan RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memartabatkan institusi pendidikan Islam dan memperkasakan masjid.

Komitmen ini memastikan syiar Islam terus tertegak dan dimartabatkan dalam pembangunan negara. – Bernama