KOTA TINGGI: Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berharap supaya Kerajaan Negeri Johor mengkaji atau mempertimbangkan kawasannya diangkat sebagai sebuah daerah baharu di negeri ini.
Azalina berkata pengiktirafan itu penting bagi memastikan kawasan berkenaan mendapat lebih banyak manfaat dan kemudahan awam, sesuai dengan statusnya kini yang berkembang pesat menjadi kompleks ekonomi bersepadu, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Beliau berkata ketika ini, Pengerang, yang berada di bawah Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ), menerima pelaburan berbilion ringgit termasuklah menerusi Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) oleh Petronas dan resort bersepadu Desaru Coast yang diuruskan anak syarikat Khazanah Nasional Bhd.
“Kita bertuah, jadi sekarang kita menunggu sahaja kawasan Parlimen Pengerang ini kalau dibenar oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Johor Sultan Ibrahim) dikurniakan dan dinaikkan pangkat kepada satu daerah.
“Kalau itu yang kita dapat saya berdoa banyaklah pembangunan yang akan dapat kita peroleh di kawasan ini seperti pembinaan pejabat-pejabat kerajaan baharu, hospital, ibu pejabat polis daerah dan infrastruktur lain,” katanya.
Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian ketika berucap pada Program Felda Fit 2.0 dan Bakti MADANI Parlimen Pengerang di Felda Air Tawar 1 di sini hari ini.
Johor mempunyai 10 daerah, iaitu Johor Bahru, Pontian, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Segamat, Muar dan Tangkak.
Ketika ini, Pengerang berada di bawah daerah Kota Tinggi.
PIPC yang juga dikenali sebagai Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) ialah projek mega yang melibatkan pembangunan kilang penapisan minyak, loji petrokimia, terminal gas asli cecair (LNG), dan loji regasifikasi.