• 2025-07-05 03:54 PM

TANJONG MALIM: Kerajaan negeri Perak akan mengadakan pertemuan dengan penggiat industri rokok elektronik atau vape sebelum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan larangan penjualan produk itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan, berkata kajian menyeluruh sedang dijalankan untuk memastikan langkah tersebut tidak menimbulkan masalah selepas dilaksanakan.

“Kita mahu mendengar pandangan mereka kerana larangan ini boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi tempatan dan pekerjaan,“ katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2025 Peringkat Negeri Perak di Hospital Slim River.

Kajian itu diketuai Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha, dan melibatkan pemain industri sebelum keputusan dibuat pada Ogos ini.

Sivanesan turut mencadangkan Kerajaan Persekutuan menyelaraskan undang-undang berkaitan vape di seluruh negara bagi mengelak isu penyeludupan jika hanya beberapa negeri melaksanakan larangan.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan kerajaan negeri masih mengkaji cadangan larangan jualan vape di Perak.