Your Title

SHAH ALAM: Kerajaan sedia mempertimbang membuka permohonan bagi pengambilan pekerja asing khusus untuk sektor perladangan kelapa sawit, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja asing sejak tahun lepas, pihaknya mendapat permintaan daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk menggunakan pekerja asing ekoran kekurangan tenaga kerja di sektor terbabit.

“Sejak September tahun lepas, kita sudah tutup pengambilan pekerja asing dan tiada lagi permohonan pekerja asing yang baharu.

“Datuk Seri Johari (Abdul Ghani) minta untuk buka (permohonan) bagi pekerja ladang (kelapa sawit), lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak yang jika (buah) tidak dikutip, pengusaha ladang alami kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh mengenai keperluan pekerja asing semasa berucap pada Siri Syarahan Menteri: “MADANI Sedang Direalisasi, Dekad Baharu Malaysia” di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kementerian berkenaan diminta mengemukakan maklumat yang tepat berkaitan kekurangan dan keperluan tenaga kerja di sektor itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sebab itu saya cakap setakat ini kita sekat dulu (pengambilan pekerja asing) dan tanya dulu dengan syarikat ladang berapa ramai (pekerja) yang diperlukan.

“Kemudian pihak berwajib bagi sektor perladangan itu dan kementerian akan tapis dan sahkan sebelum kita bermesyuarat bagi menentukan sebarang keputusan,” katanya.

Sebelum ini Saifuddin Nasution dilaporkan berkata pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata hal ini memandangkan jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 Sept tahun lepas didapati menghampiri jumlah siling yang ditetapkan.

Saifuddin Nasution berkata jumlah pekerja asing dalam negara dipandu oleh ketetapan Kementerian Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.