BALING: Kerajaan bersetuju untuk membangunkan beberapa kawasan jelapang padi di Kedah khususnya di kawasan bandar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata berdasarkan rundingan sebelum ini, Kerajaan Negeri Kedah telah menyuarakan hasrat untuk mengurangkan keluasan kawasan jelapang padi di kawasan bandar bagi memberi ruang kepada projek pembangunan lain termasuk industri, perumahan dan komersial.
“Saya bagi pandangan dan Jemaah Menteri bersetuju untuk kita perluaskan sedikit kawasan pembangunan dengan mengurangkan kawasan jelapang padi.
“Setiausaha Kerajaan Negeri sedang berunding bagi mengenal pasti kawasan baharu supaya keperluan Kedah daripada aspek industri, perumahan dan komersial dapat dijamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program MADANI Rakyat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Perdana Menteri berkata peruntukan bagi Kedah juga sentiasa menunjukkan peningkatan apabila bertambah daripada RM7.1 bilion pada 2021 kepada RM9.7 bilion bagi tahun 2025.
Beliau berkata peruntukan itu disalurkan mengikut keperluan negeri dan di Kedah misalnya, rancangan tebatan banjir perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kekurangan hasil padi.
Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Muhammad Sanusi atas kerjasama baik beliau dengan Kerajaan Persekutuan selama ini.
Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak agar tidak terlibat dengan amalan ‘sakau’ dan melaksanakan semua tanggungjawab dengan penuh amanah sebaik mungkin- BERNAMA