KAPIT: Kerja-kerja takungan bagi projek Empangan Hidroelektrik Baleh dijadualkan bermula pada 2027 dan dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata apabila siap kelak, projek milik Sarawak Energy itu mampu menjana hingga 1.2 Gigawatt (GW) tenaga elektrik menjelang 2029.
“Walaupun projek ini disasarkan siap menjelang Disember 2029, Sarawak Energy sedang berusaha untuk menyiapkannya tiga bulan lebih awal daripada jadual,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerja ke tapak projek berkenaan hari ini.
Abang Johari turut mencadangkan supaya Sarawak Energy melaksanakan inisiatif mampan seiring dengan proses takungan bagi memastikan aktiviti sosioekonomi dapat dilaksanakan menjelang 2030.
Bagi memastikan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dilaksanakan tanpa menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti, beliau turut menggariskan tiga keutamaan strategik utama, iaitu pemuliharaan biodiversiti, pembangunan pertanian, dan perlindungan habitat hidupan liar.
Antara inisiatif utama dicadangkan adalah penghijauan semula dalam skala besar untuk memulihkan biodiversiti hutan yang terkesan akibat pembangunan empangan berkenaan.
Beliau berkata aktiviti pertanian perlu dirancang di kawasan sekitar bagi menyediakan peluang ekonomi baharu kepada penduduk tempatan di samping memelihara habitat hidupan liar.
Sehubungan dengan itu, Abang Johari mengarahkan Sarawak Energy untuk bekerjasama rapat dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Hutan Sarawak, dan Jabatan Pertanian Sarawak.
“Usaha itu perlu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan komuniti setempat dan sektor perniagaan,” katanya.
Beliau berkata langkah berkenaan juga selari dengan matlamat jangka panjang kerajaan Sarawak untuk memastikan pelaksanaan pembangunan tenaga seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam mendepani perubahan iklim global.
“Banyak perkara yang telah kita pelajari daripada pembangunan Batang Ai dan Bakun. Kini, kita menyesuaikan pendekatan kita supaya lebih selari dengan matlamat iklim global,” katanya.
Empangan Hidroelektrik Baleh ialah komponen utama dalam visi strategik Sarawak untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam pengeluaran tenaga hijau menjelang 2030.
Turut hadir semasa lawatan itu, Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili.