KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru agar kerjasama serantau diperkukuh bagi menangani cabaran kesihatan bersama khususnya beban penyakit otot rangka dan tulang belakang yang semakin meningkat di rantau Asia-Pasifik.
Beliau berkata kerjasama itu penting dalam menangani pelbagai isu kesihatan serantau termasuk populasi yang semakin menua, peningkatan permintaan penjagaan kesihatan, kemunculan penyakit baharu dan perubahan teknologi.
“Rantau ini dihuni lebih separuh daripada populasi dunia. Skala penyakit otot rangka dan tulang belakang sangat besar dan terus meningkat. Daripada kecacatan sejak lahir hinggalah kepada masalah degeneratif dalam kalangan warga emas, keperluan terhadap rawatan lanjutan, mampu milik dan mudah diakses kini lebih mendesak berbanding sebelum ini, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres 2025 Mesyuarat Gabungan ke-14 Asia Pacific Spine Society (APSS), Asia Pacific Paediatric Orthopaedic Society (APPOS) dan Malaysian Spine Society (MSS) (APSS-APPOS-MSS) di sini hari ini.
Dr Wan Azizah berkata platform seperti ini amat penting dalam merintis penyelesaian kepada cabaran kesihatan serantau kerana ia menggalakkan penyelidikan, memupuk dialog dan memperkukuh jaringan serantau merentasi sempadan dan pelbagai disiplin.
“Ketika dunia memasuki era kesihatan digital, kecerdasan buatan (AI) dan perubatan peribadi, program yang menghimpunkan kepakaran serantau menjadi semakin penting dan relevan.
“Kita perlu memastikan bahawa dalam kita mengejar inovasi, kita tidak mengabaikan nilai kemanusiaan. Pesakit bukan sekadar jumlah kes atau imbasan MRI, mereka adalah insan yang ada kisah, keluarga, harapan dan ketakutan. Dan ubat terbaik ialah yang menggabungkan kemajuan sains dengan empati,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata peranan Malaysia selaku tuan rumah mencerminkan komitmen negara terhadap kemajuan penjagaan kesihatan serantau serta keyakinan jangka panjang terhadap amalan perkongsian ilmu dan kerjasama merentas sempadan.
“Profesional kesihatan kita secara konsisten telah membuktikan kemampuan untuk berperanan aktif di peringkat serantau dan antarabangsa, bukan sahaja sebagai penyelidik dan pengamal tetapi juga sebagai peneraju pemikiran dalam bidang masing-masing,” katanya.
Kongres APSS-APPOS-MSS 2025 berlangsung bermula hari ini hingga Ahad, menghimpunkan sebanyak 1,232 delegasi termasuk 1,014 pakar tulang belakang dan 218 pakar ortopedik pediatrik dari seluruh rantau Asia-Pasifik.
Kongres selama tiga hari dengan penyertaan daripada 62 syarikat penjagaan kesihatan turut memainkan peranan sebagai platform strategik untuk mempromosikan inovasi, pendidikan dan penyelidikan di bawah tema Building the Foundation to Embrace Emerging Technologies.