• 2025-08-22 08:52 PM

IPOH: Kertas kerja berhubung pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape di Perak dijangka dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) awal September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata perkara itu telah dibincangkan beberapa kali sebelum ini dan langkah tersebut akan memfokuskan kepada sekatan pengeluaran lesen penjualan vape yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Langkah pengharaman secara menyeluruh adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat namun kuasa yang ada pada kerajaan negeri adalah menyekat pengeluaran lesen ini bagi memastikan penjualannya dapat dikawal.

“Jika usaha ini berjaya direalisasikan, Perak akan menjadi negeri kelima yang mengambil langkah mengharamkan penjualan vape selepas empat negeri lain melaksanakan tindakan sama,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops PaPa) Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Pada 22 Jun lepas, kerajaan negeri menyasarkan penguatkuasaan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape akan dapat dilaksanakan di seluruh negeri pada Oktober ini.

Bagaimanapun, keputusan itu akan dibuat selepas kertas kerja yang dirangka oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dibentang dan diperhalusi secara menyeluruh dalam MMK.

Sementara itu, Sivanesan berkata keputusan yang dibuat itu juga tidak bersifat semberono sebaliknya terarah kepada langkah proaktif dalam melindungi kesihatan masyarakat daripada ancaman penyakit menerusi penggunaan vape. – Bernama