• 2025-07-15 07:30 PM

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes penyanyi Nurshahila Amir Amzah atau lebih dikenali sebagai Shila Amzah, yang mendakwa diserang seorang penyanyi legenda lelaki semasa sesi latihan konsert, dijangka dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata pihak polis sedang menyiapkan kertas siasatan kes tersebut.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada PPN Kuala Lumpur untuk kajian dan arahan lanjut berkenaan pendakwaan. Setakat ini, empat saksi termasuk pengadu telah memberikan keterangan bagi membantu siasatan,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Usuf dilaporkan berkata bahawa dua individu telah memberikan keterangan untuk membantu siasatan kes ini.

Laporan polis telah dibuat oleh Shila di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 5.31 petang, Khamis lepas.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang melibatkan kesalahan ugutan jenayah. - Bernama