JASIN: Kerugian akibat penipuan dalam talian di Melaka mencecah RM39 juta melibatkan 1,159 kes dari Januari hingga 1 Julai 2025. Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, berkata kerugian tertinggi berpunca daripada pelaburan dalam talian.
Beliau menyatakan, terdapat kes melibatkan kerugian melebihi RM1 juta akibat mangsa terpedaya dengan tawaran pulangan lumayan. Golongan profesional turut menjadi sasaran. “Walaupun kesedaran diberikan, ramai masih terpedaya dengan janji keuntungan besar. Ini menunjukkan sikap tamak dan kurang kefahaman tentang penipuan siber,“ katanya.
Mohd Noor Helmy berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Infra Komunikasi dan Jenayah Siber Jasin. Program itu anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama polis Melaka.
Beliau menekankan kerjasama antara kerajaan negeri, MCMC, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meningkatkan kesedaran awam. “Jenayah siber semakin canggih, menggunakan panggilan palsu, mesej scam, dan pautan tidak sahih,“ ujarnya.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata 650 tangkapan dilakukan tahun ini berkaitan jenayah siber. Polis giat mengadakan forum kesedaran bagi mendedahkan modus operandi penjenayah siber.
“Antara penipuan kerap dilaporkan ialah pembelian barang tidak dihantar, laman web tiruan, dan pautan jemputan palsu,“ katanya.