PENGKALAN HULU: Seorang lelaki warga emas maut dipercayai terkena libasan pokok getah yang ditebang di kebunnya di Kampung Klian Intan, Pengkalan Hulu. Kejadian berlaku petang tadi kira-kira 173 kilometer dari Ipoh.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu segera bergerak ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki berusia 76 tahun terbaring tanpa sebarang tindak balas. Pemeriksaan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa dipercayai terkena libasan pokok ketika sedang menebang pokok getah di kebunnya. Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan kebun dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.