KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua remaja bawah umur di kediaman masing-masing sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan kes kehilangan empat pelajar sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata hanya suspek pertama berusia 20 tahun yang dibawa ke mahkamah dan dibenarkan reman selama satu hari.

“Suspek kedua dan ketiga, masing masing berusia 15 dan 13 tahun tidak direman kerana di bawah umur. Kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 malam semalam setelah keterangan mereka dirakam.

“Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan daripada doktor perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan kesemua pelajar tahfiz berkenaan ditemui selamat di Bangi Jumaat lepas selepas dilaporkan hilang sejak 8 Okt, dengan mempunyai kesan kecederaan disyaki akibat penderaan dan kesalahan seksual.

Menurut Rusdi, dapatan adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan atas persetujuan keluarga kanak-kanak berkenaan di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata berdasarkan keterangan awal, pelajar lelaki berusia 13 hingga 14 tahun itu mendakwa melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz berkenaan.