Your Title

KUCHING: Kestabilan politik dan dasar jelas yang dipegang oleh kepimpinan Sarawak telah membolehkan negeri itu bangkit sebagai gergasi ekonomi baharu di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sarawak telah menunjukkan peningkatan ekonomi yang membanggakan dan menyumbang kepada kecenderungan pelabur luar untuk datang ke negara ini.

Berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak peringkat Sarawak 2024 di sini malam ini, beliau berkata jumlah pelaburan yang dicatat oleh negara tahun lepas adalah yang tertinggi dalam sejarah.

“Selain negeri yang kita kenal seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor, sekarang tidak semena-mena melonjak kebangkitan Sarawak sebagai gergasi ekonomi,” katanya.

Beliau berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kabinet negeri pimpinannya telah menunjukkan komitmen mereka untuk memastikan dasar yang jelas itu benar-benar difahami serta dilaksanakan.

Anwar berkata hasil lawatan beliau ke beberapa negara seperti Jerman dan Jepun baru-baru ini turut mendapati keyakinan para pelabur dengan potensi Sarawak.

“Apa yang luar biasa bagi saya dan saya perlu katakan ini dengan penuh keyakinan dan perasaan bangga ialah Sarawak dilihat sebagai hab utama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata Sarawak bukan lagi mengejar pusat ekonomi lain di negara ini namun sudah melangkaui unjuran mengenai perkembangan ekonominya sendiri yang telah dibuat 10 tahun sebelum ini.

Perdana Menteri juga berkata kolaborasi yang dipersetujui ialah Sarawak membiayai terlebih dahulu projek pembangunan kerajaan pusat di negeri itu bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang melewatkan pelaksanaannya.

“Asalkan ikut peraturan kewangan, jangan ada sakau-menyakau, jalankan (projek). Itu keputusan kita sekarang yang akan memudah dan mempercepatkan program,” kata beliau.