• 2025-08-11 09:37 PM

SEPANG: Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh Dr Muhammad Yunus tiba di Malaysia hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesawat komersial yang membawa Yunus dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 7.47 malam dan ketibaan mereka disambut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Yunus kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Bangladesh pada Oktober 2024 dan Yunus diiringi beberapa penasihat serta pegawai kanan kerajaan.

Yunus akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya esok disusuli mesyuarat dua hala dengan Anwar.

Kedua-dua pemimpin dijangka meneliti kemajuan hubungan Malaysia-Bangladesh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan dan pertahanan. Perbincangan juga akan merangkumi perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Sepanjang lawatan itu, Anwar dan Yunus akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, tenaga, kajian strategik dan antarabangsa, pembangunan kapasiti dalam bidang teknologi semikonduktor serta promosi perdagangan.

Pertukaran Nota Diplomatik juga akan dimeterai dalam bidang latihan diplomatik dan pendidikan tinggi.

Wisma Putra memaklumkan Anwar turut dijadualkan meraikan Yunus dan delegasinya dalam majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.

Yunus juga dijadual menyampaikan syarahan umum pada Rabu dan akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketua Penasihat Bangladesh itu turut akan menghadiri sesi bersama ahli komuniti Pusat Perniagaan Sosial Yunus dan rangkaian universiti dalam satu program anjuran bersama UKM.

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (US$2.92 bilion), meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding 2023.

Bangladesh merupakan rakan dagang kedua terbesar dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan. Eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan keluaran kilang.

Menurut kenyataan itu, lawatan ini dijangka terus memperkukuh hubungan dua hala serta memupuk kerjasama yang lebih erat dalam bidang yang saling menguntungkan, berasaskan asas kukuh yang telah terjalin sejak hubungan diplomatik dimeterai pada 1972 - BERNAMA