KUALA LUMPUR: Projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya dilaksanakan bagi menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), dijangka mampu membekalkan unjuran keperluan 1,500 juta liter air sehari di utara Perak dan Pulau Pinang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini sekali gus dapat memenuhi keperluan bekalan air di kawasan Seberang Perai Selatan dan KIGIP, selain turut menyelesaikan masalah air di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Perak pada masa hadapan.

“Unjuran keperluan daripada kajian menunjukkan keupayaan dari Sungai Perak mencecah hingga 1,500 juta liter sehari, itu memenuhi keperluan di Utara Perak dan seluruh Pulau Pinang.

“Ini sebabnya kerajaan setuju dengan pembiayaan besar tetapi dikendali melalui kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby, SD Guthrie Berhad dan Kerajaan Negeri Perak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu hala tuju KIGIP dalam meningkatkan pelaburan domestik yang selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga, tetapi dalam masa sama perlu mengimbangi keperluan kawasan berdekatan seperti masalah bekalan air di Seberang Perai Selatan.

Anwar berkata walaupun Kedah ada menyatakan hasrat untuk membekalkan air mentah bagi kawasan itu, namun jumlahnya sangat kecil iaitu hanya 25 juta liter sehari, sedangkan keperluan awal di utara Perak iaitu Larut Matang, Kerian dan Selama mencecah 300 juta liter sehari.

“Keupayaan Sungai Perak sekiranya diberikan suntikan dana untuk mengurus sungai dengan lebih berkesan, kapasiti ini boleh memenuhi keperluan Pulau Pinang sebahagian besarnya, kira-kira 700 juta liter sehari,” katanya.

Beliau berkata projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dengan peruntukan RM4 bilion dijangka akan dimulakan tahun ini.

“Projek ini mudah kerana tanah di Kerian itu, milik Sime Darby. Jadi tidak ada isu pengambilan tanah 1,000 ekar (404 hektar) itu (kerana) milik Sime Darby, bila mereka setuju, Kerajaan Perak bersetuju untuk segerakan,” katanya.

KIGIP adalah projek taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama, dengan fasa pertama melibatkan pembangunan tanah berkeluasan 1,000 ekar.

Dengan kedudukan yang strategik, iaitu berdekatan dengan hab sektor elektrikal dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di Kedah, KIGIP akan melengkapi spillover demand kepesatan industri.