SHAH ALAM: Sebuah kilang pemprosesan plastik di Sabak Bernam dihukum denda RM105,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan melepaskan pencemar tanpa lesen pada tahun lepas.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Wandi Yadzid Yaakob, dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan mahkamah dibuat semalam selepas pengurus See Hau Global Sdn Bhd mengaku salah. Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza turut menjatuhkan hukuman penjara setahun jika syarikat gagal membayar denda.
“Pemeriksaan JAS Sabak Bernam pada 27 Dis 2023 mendapati efluen perindustrian dilepaskan ke longkang awam melebihi had yang dibenarkan,“ jelas Wandi Yadzid.
Kesemua pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda RM100,000 bagi setiap kesalahan. Wandi turut menyeru industri mematuhi peraturan alam sekitar bagi mengelakkan tindakan undang-undang.