• 2025-06-25 10:49 AM
Perzim usaha dapatkan dokumen sejarah Melaka di luar negara

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka, melalui Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), akan berusaha mendapatkan akses kepada dokumen bersejarah penting yang kini berada di pelbagai negara. Inisiatif ini bertujuan mengumpul catatan, surat, dan rekod berkaitan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sebelum abad ke-15.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kerjasama akan dimeterai dengan Jabatan Muzium Malaysia, Arkib Negara Malaysia, dan Perpustakaan Negara bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Beliau baru-baru ini mengetuai delegasi ke Belanda untuk meneliti dokumen bersejarah, termasuk yang membuktikan kisah Panglima Awang (Enrique de Malacca), individu pertama dari rantau ini yang berjaya mengelilingi dunia pada abad ke-16.

“Penemuan ini bukan sekadar mengangkat nama Panglima Awang, tetapi memberi makna baharu kepada sejarah Melaka,“ katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Ab Rauf, Panglima Awang direkodkan sebagai kru dan jurubahasa penting dalam pelayaran Ferdinand Magellan sekitar 1495 hingga 1500.

“Sudah tiba masanya untuk meluruskan semula sejarah dan menghidupkan warisan kegemilangan Melaka,“ tambahnya.

Selain itu, Perzim merancang membangunkan platform digital bagi mengumpul dokumen sejarah negeri itu dengan kerjasama agensi kerajaan Persekutuan. Platform ini bertujuan memudahkan akses kepada bahan berharga untuk generasi akan datang.