• 2025-08-02 01:13 PM

KOTA BHARU: Tangan beruratnya kejap memegang tukul besi sebelum dengan perlahan satu demi satu ketukan padu dilepaskan pada kepingan besi panas merah menyala yang ditarik keluar daripada timbunan bara arang.

Itulah rutin Fauzi Yusoff, 69, sejak sekian lama dan bunyi paluan tukul besi itu seakan sudah sebati dengan jiwanya dalam ‘menghidupkan’ warisan seni pisau jam, senjata tradisional Melayu Kelantan yang kini hanya tinggal nama bagi generasi muda.

“Bentuk pisau jam ini memang lain, seperti jarum jam dinding. Bahagian matanya saya guna besi waja tapi selebihnya saya campur lima jenis besi lama dipanggil ‘pamo’. Sebab itu kalau tengok, ada garis sempadan khas, ini identiti yang ada pada pisau jam,” kata bekas guru besar itu yang mesra dipanggil Cikgu Fauzi kepada Bernama baru-baru ini.

Pisau jam buatan Cikgu Fauzi hanya sepanjang enam inci namun cerita di sebalik setiap bilah pisau itu ada cerita yang panjang dan mendalam. Sarungnya diperbuat daripada kayu akasia bercorak belang harimau, ‘aring’ daripada tembaga cair diketuk kemas, dan hulunya pula daripada kayu merbau yang keras dan tahan lasak.

Beliau mengakui lebih tiga dekad lalu aktiviti itu sekadar hobi yang dilakukan selepas pulang dari sekolah, namun hari ini setiap ketukan tukul menjadi nada rindu kepada arwah bapanya, Yusoff Kasim, seorang tukang besi masyhur di Kampung Padang Embun, Pasir Mas.

“Sebab itu saya tak sampai hati nak lepas walaupun ramai yang datang untuk beli pisau jam ini. Bagi saya ia bukan sekadar senjata tetapi sejarah keluarga, ini warisan ayah saya,” katanya.

Di rumah, isterinya Che Azizah Mat Ali, 67, yang juga bekas guru selalu menjadi saksi di sebalik letih tangan Cikgu Fauzi, manakala empat anak dan 11 cucu mereka juga tumbuh membesar dalam bunyi ketukan besi.

Selain pisau jam, Cikgu Fauzi turut menghasilkan parang, keris, pedang dan sabit yang setiap satu ditempa dengan sabar kerana baginya seni pertukangan besi punya jiwa dan kehalusan tersendiri.

Antara karya paling istimewa beliau ialah pisau bersarung kayu berbentuk ikan arowana.

“Hendak buat satu ambil masa berbulan, sebab kena ukir siripnya satu demi satu. Dulu saya jual RM550 sebilah tetapi sekarang nilainya boleh cecah ribuan ringgit cuma dah tak buat sebab pembuat sarungnya dah meninggal,” katanya.

Bengkel kecil di belakang rumah yang dibina dengan kos hampir RM100,000, bagi Cikgu Fauzi bukan sekadar ruang bekerja tetapi di sini setiap percikan bara api menjadi penghubung rasa rindu kepada arwah bapanya.

“Bila saya dengar bunyi tukul, rasa macam ada ayah di sebelah saya. Saya terbayang macam mana dulu arwah ajar saya pegang tukul, ajar supaya sabar semasa besi masih merah panas,“ katanya.

Beliau berkata ketika ini kebanyakan tempahan diterima untuk parang dan sabit yang biasanya siap dalam seminggu, berbanding untuk pedang dan keris yang memerlukan masa lebih lama serta ketelitian yang bukan semua tangan mampu membuatnya menyebabkan harga keris boleh mencecah hampir RM3,000.

“Proses dimulakan dengan bakar besi atas bara arang, lepas itu tukul pakai mesin ‘Air Hammer’ sebelum disepuh, celup dalam air atau minyak supaya besi tak lembik dan tajamnya tahan,” katanya.

Langkah terakhir ialah proses ‘canai’, yang menurut Cikgu Fauzi bahagian paling memerlukan kesabaran dan cinta.

“Kalau kita buat dengan hati tak tenang, hasilnya takkan jadi elok. Ini amanah ayah saya, dan cinta saya pada seni,” katanya.

Bagi Cikgu Fauzi, selagi ada bara, selagi ada tangan yang masih mahu mengetuk, selagi itulah warisan ini akan terus ‘bernyawa’. - Bernama