PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik Hebe - Micro Rescue Cream (Reduce Acne Scar) dan Cloroc Reju Cream kerana dikesan mengandungi empat jenis racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Produk Hebe - Micro Rescue Cream (Reduce Acne Scar) dan Cloroc Reju Cream masing-masing dikesan mengandungi Clindamycin dan Metronidazole serta Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate.
“Produk yang mengandungi Clindamycin, Metronidazole, Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Turut dibatalkan notifikasi produk kosmetik Seri Ayu Secret-Radiant Repair Cream yang dikesan mengandungi merkuri.
KKM berkata merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Selaras dengan keputusan itu, KKM menggesa orang awam mengelak daripada membeli produk berkenaan, manakala penjual dan pengedar juga perlu menghentikan penjualan serta pengedarannya dengan serta-merta.
Individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melanggar peraturan itu pula boleh didenda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
KKM menasihatkan orang awam yang menggunakan produk kosmetik itu supaya segera berhenti dan dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.