KUANTAN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 98,054 notis melibatkan nilai kompaun RM24.5 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini bagi kesalahan merokok di tempat larangan.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata angka berkenaan meningkat berbanding bilangan notis dikeluarkan sepanjang tahun lepas iaitu 96,127 dengan nilai kompaun RM24 juta.

“Data berkenaan membuktikan kami serius menjalankan penguatkuasaan dan dakwaan bahawa petugas KKM tidak lagi menguatkuasakan peraturan larangan merokok adalah tidak benar...mereka (penguat kuasa) sering jalankan operasi setiap hari,“ katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata sekiranya penguatkuasaan Peraturan (11) Peraturan-Peratuan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 diteruskan hingga hujung 2024, pihaknya menjangkakan lebih 130,000 notis melibatkan nilai kompaun RM32 juta dikeluarkan.

Bagaimanapun, peraturan kawalan produk tembakau di bawah PPKHT kini digantikan dengan Akta 852.

Ditanya sama ada anggota penguat kuasa berhadapan ancaman ketika melakukan operasi, Dzulkefly mengakui perkara tersebut berlaku namun ditangani dengan baik.

Sementara itu, KKM dalam kenyataan memaklumkan Operasi Mega Bersepadu peringkat negeri telah bermula 11 Okt lepas antara lain bertujuan membendung penjualan, pembelian, serta penggunaan produk tembakau, termasuk rokok elektronik terutama dalam kalangan orang belum dewasa (OBD).

KKM turut menyeru semua kementerian dan agensi, badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan peniaga serta seluruh lapisan masyarakat MADANI supaya mewujudkan persekitaran yang bebas asap rokok dengan penguatkuasaan Akta 852 serta akta lain yang berkaitan.

Operasi Mega Bersepadu itu buat julung kali melibatkan kerjasama pelbagai kementerian lain antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.