KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan komitmennya untuk memastikan doktor dan petugas kesihatan terus berkhidmat di Malaysia walaupun tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menghalang mereka menerima tawaran kerja di luar negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk mengekalkan tenaga kesihatan dalam sistem awam, termasuk mempercepatkan proses lantikan tetap bagi doktor kontrak.
“Kita tidak mempunyai halangan terhadap perekrutan rentas sempadan kerana ia adalah hak individu. Ini juga selaras dengan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dan Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (AFAS),“ katanya.
Beliau menekankan hasrat kerajaan untuk mengekalkan doktor dan jururawat yang telah mendapat latihan lanjutan dalam negara. Ulasan ini dibuat sebagai tindak balas terhadap laporan media sosial mengenai hospital di Singapura yang aktif menarik doktor Malaysia dengan tawaran gaji tinggi.
Dzulkefly turut menyatakan bahawa KKM sedang mempercepatkan proses peralihan doktor kontrak kepada jawatan tetap bagi memenuhi keperluan kritikal sektor kesihatan.
“Sistem kontrak sebelum ini dilaksanakan untuk menangani lebihan graduan perubatan, tetapi kini jumlah graduan telah menurun, membolehkan lebih banyak peluang jawatan tetap,“ jelasnya. - Bernama