• 2025-10-16 04:02 PM

KUALA LUMPUR: Semua fasiliti dan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan sudah bersiap sedia sekiranya berlaku lonjakan kes luar jangka melibatkan penularan influenza.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan Jabatan Kecemasan dan Trauma di semua hospital KKM telah melaksanakan pengasingan laluan bagi pesakit penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

Langkah ini bertujuan mengelakkan penularan dalam kalangan pesakit serta mencegah berlakunya jangkitan yang diperoleh di hospital.

KKM juga mengaktifkan Pelan Bencana Hospital dengan penubuhan zon bencana dan penyediaan lebih banyak katil tambahan.

Mobilisasi petugas secara dalaman juga disediakan sekiranya berlaku lonjakan kes luar jangka.

“Langkah ini adalah tindakan pre-emptive dan proaktif sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes secara mendadak,” katanya.

Beliau berharap situasi lonjakan kes luar jangka tersebut tidak akan berlaku.

Tiada vaksin khusus dan universal bagi influenza dibangunkan berikutan virus berkenaan mengalami proses mutasi dengan sangat kerap.

Setiap tahun Pertubuhan Kesihatan Sedunia bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit akan menjalankan aktiviti pemantauan bagi menentukan strain dominan.

Vaksin baharu akan dibangunkan lazimnya dalam bentuk vaksin kuadrivalen yang merangkumi beberapa jenis virus influenza sekali gus.

KKM tidak menjalankan ujian makmal secara rutin bagi semua kes Influenza-Like Illness atau penyakit seakan influenza.

Majoriti kes membabitkan gejala ringan dan boleh didiagnosis secara klinikal tanpa memerlukan pengesahan makmal.

Diagnosis klinikal sudah memadai berdasarkan simptom atau tanda-tanda yang ditunjukkan pesakit.

Ujian makmal tidak akan mengubah bentuk rawatan yang diberikan kepada pesakit.

Bagi pesakit yang berisiko tinggi termasuk warga emas kanak-kanak dan wanita hamil rawatan akan diberikan sewajarnya.

Individu yang menunjukkan gejala lebih serius akan diberikan rawatan serta profilaksis atau ubat antiviral. – Bernama