KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli dan Jawatankuasa Teknikal Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli dalam masa terdekat, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata penubuhan dua jawatankuasa kerja berkenaan bertujuan memastikan status kesihatan golongan itu setara dengan populasi umum Malaysia selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) serta prinsip tiada siapa yang ketinggalan (no one is left behind) dalam aspek kesihatan.

“Jawatankuasa kerja ini akan merangka strategi dan intervensi bagi mengurangkan jurang penentu sosial kesihatan (SDH) Orang Asli melalui peningkatan status sosial, ekonomi dan pendidikan agar tahap kesihatan mereka setara dengan masyarakat arus perdana,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat dan Pelancaran Dapatan Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) 2022 oleh KKM di bangunan Parlimen yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Noor.

Dzulkefly berkata kedua-dua jawatankuasa itu ditubuhkan susulan hasil dapatan OAHS 2022 oleh KKM yang mendapati jurang tahap kesihatan ketara antara Orang Asli dan populasi umum di negara ini khususnya di kawasan pedalaman.

Beliau berkata kedua-dua jawatankuasa kerja itu akan dianggotai ketua setiausaha dan ketua pengarah dari 18 kementerian dan agensi berkaitan antaranya KKM, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi, manakala Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands mewakili masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata masalah kesihatan yang dikenal pasti dalam kalangan Orang Asli berpunca daripada pelbagai faktor seperti tahap sosioekonomi serta pendidikan dan kebanyakan fakor berkenaan di luar kawalan KKM.

Selain itu, Dzulkefly berkata KKM juga akan membangunkan pelan strategik dikenali sebagai Agenda Orang Asli Sihat Sejahtera bagi menangani isu kesihatan golongan berkenaan berdasarkan dapatan OAHS 2022.

Data OAHS dari Julai hingga September 2022 melibatkan 15,950 responden merangkumi kaum Senoi, Melayu Proto dan Negrito, mendapati majoriti Orang Asli tidak mengetahui mereka menghidap penyakit tidak berjangkit.

Selain itu, data berkenaan turut menunjukkan 45.8 peratus atau sembilan daripada 10 orang tidak mengetahui mereka menghidap penyakit disebabkan paras kolesterol tinggi.

Tinjauan meliputi semua skop soalan Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) yang membabitkan 68 kampung di lapan negeri itu, turut mengenal pasti hampir 4,000 dewasa Orang Asli pernah menghidap penyakit tuberkulosis (TB), selain satu daripada empat bayi dilahirkan dengan berat badan rendah.