SHAH ALAM: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menaik taraf 121 sekolah padat melibatkan pembinaan 127 bilik darjah di enam negeri menerusi projek menangani isu kepadatan sekolah, dengan peruntukan berjumlah RM88 juta.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sebanyak 127 surat setuju terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor yang berjaya dipilih untuk melaksanakan projek itu hari ini, melibatkan negeri Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pulau Pinang.

“Daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah SST tertinggi dengan 111 bilangan kerja, diikuti Perak (tujuh), Pahang (empat), Negeri Sembilan (tiga), manakala Terengganu dan Pulau Pinang masing-masing satu projek.

“Skop projek melibatkan pembinaan 117 bilik darjah perdana dan 10 bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menggunakan reka bentuk berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS),“ katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan SST di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di sini hari ini.

Ahmad berkata penggunaan IBS bukan sahaja mempercepatkan proses pembinaan, malah menjamin kualiti binaan yang lebih baik dan mampan, dengan semua projek disasarkan siap sepenuhnya pada penghujung Oktober ini.

Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI yang mengutamakan projek rakyat bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di samping mewujudkan ekosistem pendidikan kondusif.

“Projek ini adalah langkah proaktif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha mencapai sasaran pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030.

“Selain itu, kementerian juga mahu menyediakan kemudahan yang lebih moden dan selesa serta menyokong persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif untuk murid, guru dan warga sekolah,” katanya.

Terdahulu, Ahmad menyerahkan SST kepada 127 kontraktor yang berjaya terpilih menerusi tender terbuka yang dilaksanakan sejak 24 April hingga 16 Mei lepas.

Sebanyak 14 jurutera JKR daerah turut dilantik bagi memantau kerja-kerja pembinaan di semua sekolah terlibat.