• 2025-07-29 02:03 PM

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bernilai RM40,000 dalam satu operasi di Malim Jaya semalam.

Serbuan Ops Gasak itu mendedahkan premis digunakan untuk aktiviti penyiringan LPG bersubsidi ke tong gas industri tanpa kebenaran.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin, berkata tiga lelaki warga Myanmar berusia 23 dan 24 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Proses pemindahan gas bersubsidi 14 kilogram ke tong industri 50kg sedang dijalankan ketika serbuan,“ katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.

Pemeriksaan menemui 107 tong LPG bersubsidi 14kg, 59 tong LPG 50kg, dan 20 hos getah.

Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi individu, dan denda RM2 juta bagi syarikat.

Mohd Hazimin menegaskan KPDN akan terus memperhebat pemantauan bagi memastikan tiada penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

“Ini sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR yang dilancarkan Oktober lalu untuk menangani manipulasi perniagaan dan ketirisan subsidi,“ jelasnya.

Orang ramai boleh membuat aduan melalui WhatsApp (019-848 8000), Portal e-Aduan KPDN, atau pusat panggilan 1-800-886-800. - Bernama