• 2025-07-18 09:50 PM

TIRIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 605 peket minyak masak bersubsidi bernilai RM1,512.50 dalam operasi Op Tiris di sebuah premis di Industri Kamunting Aman, Kamunting.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan itu dilakukan sekitar jam 4 petang oleh pegawai penguat kuasa selepas menerima maklumat mengenai penyalahgunaan barang kawalan.

“Pemeriksaan mendapati minyak masak bersubsidi satu kilogram disimpan dalam empat tong ais dan beberapa bakul raga di dapur premis. Minyak ini dipercayai digunakan untuk memasak makanan pekerja warga asing dan turut dijual oleh mereka,“ katanya dalam kenyataan.

Siasatan lanjut mendapati pemilik premis, seorang wanita tempatan berusia 36 tahun, memiliki minyak masak melebihi had yang dibenarkan dalam lesen pengawal bekalan.

Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kamalludin menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.

Operasi penguatkuasaan khas “KITA GEMPUR” akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang. - Bernama