IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 63 tong gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,139.60 yang disyaki disimpan di sebuah stor tanpa lesen di Tanjong Malim, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan hari ini berkata kejayaan operasi itu hasil maklumat risikan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak Cawangan Tapah yang melakukan tugas pemantauan selama beberapa hari di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati stor berkenaan tidak memiliki sebarang lesen atau permit menyimpan Barang Kawalan (CSA).

“Seorang lelaki tempatan berumur 50-an yang disyaki pemilik perniagaan ditahan untuk siasatan lanjut,“ katanya.

Kamalludin berkata kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa.

Siasatan lanjut juga akan dilaksanakan terhadap syarikat pemborong barang kawalan LPG terbabit kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan.