IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 463 bungkusan makanan ringan pelbagai jenis yang menggunakan logo halal tidak sah dengan nilai dianggarkan berjumlah RM2,720 di Buntong di sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya membuat serbuan terhadap sebuah premis makanan ringan di Kampung Kacang Putih kerana disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah bagi tujuan perdagangan dan jualan di pasaran.

Beliau berkata pihaknya telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah digunakan bagi tujuan perdagangan selain mendapati produk dikeluarkan adalah untuk jualan runcit serta borong sekitar utara Semenanjung Malaysia.

“Kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.