KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki dan merampas 714 kilogram daun dan air ketum, serta tiga pil dadah seberat 0.8 gram yang ditemukan dalam kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka di Kampung Pek Machang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu berjumlah RM13,265.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata sejurus selepas ditahan kedua-dua suspek membawa polis di satu kawasan yang dijadikan sebagai tempat memproses air ketum.

Beliau berkata ujian saringan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine, dan semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Ahmad Shafiki berkata kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.