IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 673 helai pakaian tiruan bernilai RM15,389 dalam serbuan di sebuah kompleks membeli belah di Jalan Larut, Taiping di di sini, semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalluddin Ismail berkata serbuan dilancarkan sekitar pukul 11 pagi oleh anggota penguat kuasa KPDN Taiping selepas melakukan risikan selama dua minggu di kompleks itu.

Beliau berkata wakil pemilik cap dagang telah membuat pengesahan awal dan kesemua pakaiani tu disita bersama dokumen perniagaan serta invois berkaitan.

“Seorang penyelia premis warga tempatan berumur 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkenaan. Maklumat awal mendapati bekalan pakaian jersi ini diperolehi dari utara semenanjung Malaysia,” katanya di sini.

Kamalluddin berkata kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti yang disyaki melanggar akta berkenaan diminta menyalurkannya ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau hubungi aplikasi Whatsapp KPDN di talian 019-848 8000.