BANGI: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPT) mengarahkan sesi libat urus diadakan segera bersama pemain industri sawit susulan timbul kebimbangan berkaitan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lima peratus ke atas sektor oleokimia bermula Julai ini.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kementerian itu perlu mendapatkan maklum balas secara langsung daripada syarikat yang benar-benar terlibat dalam rantaian industri sawit, khususnya dalam sektor kilang, penapisan dan oleokimia, bagi mengenal pasti sama ada pelaksanaan cukai tersebut memberi kesan kepada daya saing industri.
“Saya sudah arahkan kementerian untuk laksanakan sesi libat urus dengan pemain industri. Kita nak tahu secara spesifik, bahagian mana yang terjejas. SST ini memang sistem percukaian yang sudah digunakan dalam negara kita.
“Tetapi apabila ada banyak maklum balas negatif, saya kata jangan terus bagi reaksi. Kita perlu jumpa (pihak) industri, lihat kesannya. Kalau ia benar-benar jejaskan daya saing, barulah kita kaji semula,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB) 2025 di sini hari ini.
Johari berkata kementerian hanya akan menilai maklum balas daripada pihak yang aktif dalam industri, dan bukan pihak luar yang mungkin kurang memahami realiti operasi serta struktur kos dalam sektor komoditi.
“Kadang-kadang orang yang beri komen ini tidak terlibat pun dalam industri. Kita perlu tanya mereka yang berada dalam lapangan, yang faham dari peringkat kilang, penapisan, sampai ke oleokimia,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bahan mentah yang dieksport ke luar negara tidak dikenakan cukai jualan, namun terdapat kekeliruan yang masih wujud dalam kalangan sesetengah pihak.
“Mana-mana bahan mentah yang kita eksport tidak dikenakan cukai jualan. Jadi bila orang kata beban meningkat, mungkin ada yang tidak faham sepenuhnya. Sebab itu penting untuk kita turun padang, dengar daripada mereka sendiri,” katanya.
Johari berkata walaupun tidak ada syarikat yang secara rasmi memohon pengecualian SST setakat ini, kementerian terbuka untuk meneliti kes-kes yang munasabah sekiranya ia memberi kesan langsung terhadap daya saing sektor sawit negara.
Sementara itu, dalam ucapannya, Johari berkata sektor oleokimia menyumbang kita-kira 24 peratus nilai eksport produk sawit Malaysia dengan nilai RM27.5 billion pada tahun 2024.
Baru-baru ini, firma penyelidikan CIMB Securities melaporkan sektor oleokimia Malaysia mungkin berdepan peningkatan kos input bermula 1 Julai, berikutan isirung sawit yang sebelum ini dikecualikan daripada SST, akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus.
Ia berkata cukai yang disemak semula itu turut terpakai ke atas minyak isirung sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) serta tempurung isirung sawit, yang telah dikelaskan semula di bawah kerangka SST yang diperluas, melibatkan 4,800 Kod Sistem Harmonisasi.