PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup di sekolah terpilih seluruh negara sebagai langkah segera mempertingkat keselamatan.
Peruntukan ini melengkapkan peruntukan awal RM3 juta yang telah diumumkan sebelum ini untuk tujuan sama.
KPM memaklumkan langkah itu adalah sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh kementerian bagi memperkukuh keselamatan serta menangani isu disiplin murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Sebanyak 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai November 2025 bagi memenuhi keperluan semasa.
Bagi institusi berasrama penuh, 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bagi meningkatkan pemantauan keselamatan.
KPM turut memperkukuh Jawatankuasa Pemuafakatan sekolah melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia termasuk peranan Pegawai Penghubung Sekolah.
Fungsi Smart Support Team di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan terus diperkasakan bagi menyediakan sokongan psikososial ketika krisis.
Guru-guru akan diberikan latihan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di sekolah.
KPM juga menegaskan peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin sekolah akan terus diperkasakan dalam menangani kes-kes disiplin.
Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru-guru tertentu untuk mendisiplinkan murid berdasarkan keperluan.
Peraturan disiplin murid kini sedang digubal semula bagi menangani isu semasa dengan lebih berkesan.
Sistem Sahsiah Diri Murid akan ditambah baik supaya lebih proaktif dalam mengurus kes disiplin dan tindakan susulan.
Inisiatif ‘kotak suara murid’ akan diperluas bagi memastikan suara guru dan pelajar diambil kira selaras dengan advokasi UNICEF.
Polisi Perlindungan Kanak-Kanak sedang dimuktamadkan bagi melindungi murid di sekolah daripada sebarang bentuk ancaman.
Kerjasama antara KPM dan Kementerian Kesihatan akan diperkukuh untuk program saringan kesihatan mental dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.
Intervensi dan sokongan psikososial berterusan akan disediakan kepada murid yang memerlukan bantuan khusus.
KPM menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan untuk terus bekerjasama mewujudkan ekosistem pembelajaran yang selamat.
Ekosistem pembelajaran yang sihat dan berdisiplin perlu diwujudkan di setiap institusi pendidikan bagi memastikan perkembangan murid yang optimum. – Bernama