• 2025-06-19 06:00 PM

SHAH ALAM: Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan inisiatif baharu Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) sebagai platform khusus bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan secara digital berkaitan isu perpaduan.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata platform itu bagi memperkukuh pengurusan maklumat dan maklum balas terhadap aduan komuniti serta meningkatkan kecekapan sistem pemantauan keselamatan dan keharmonian di peringkat akar Umbi.

“RAKAN merupakan satu inisiatif bagi mendekatkan rakyat kepada kerajaan dalam memperkasa komuniti terhadap usaha menjaga keharmonian nasional.

“Kita yakin inisiatif ini mampu membudayakan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat terhadap isu-isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran platform berkenaan di sini hari ini.

RAKAN yang dibangunkan Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) boleh diakses bermula hari ini menerusi laman sesawang https://rakan.jpnin.gov.my.

Aaron berkata semua maklumat individu yang membuat aduan menerusi RAKAN adalah sulit dengan aduan yang diterima akan diteliti oleh Pegawai Perpaduan Daerah (PPD) serta disalurkan kepada agensi berkaitan di peringkat daerah, negeri dan pusat untuk tindakan lanjut.

Selain itu, maklumat berkenaan turut dikongsikan untuk tindakan bersama oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Terdahulu, Aaron dalam ucapannya berkata Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan peningkatan skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kepada sekurang-kurangnya 0.70 tahun ini berbanding 0.629 pada 2022.

Beliau berkata IPNas sebagai satu-satunya instrumen rasmi untuk mengukur tahap perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini mengeluarkan kajian pertama pada 2018 dengan skor dicatatkan ialah 0.567.

“Bagi merealisasikan sasaran skor IPNas 0.70 tahun ini, kementerian telah melaksanakan pelbagai usaha seperti dialog komuniti, program integrasi pelbagai kaum dan pemerkasaan peranan akar umbi secara berterusan.

“Apa yang penting, meningkatkan skor IPNas bukan semata-mata soal statistik tetapi soal memperkukuh asas sosial negara kita dari tahap persepsi hingga tahap tindakan,“ katanya.

Aaron berkata KPN juga sedang meneroka pelbagai ruang dan peluang baharu untuk memperkukuh perpaduan melalui teknologi digital seperti penyediaan permohonan dalam talian bagi penubuhan Kawasan Rukun Tetangga, pemerkasaan mekanisme pelaporan dan pemantauan isu perpaduan secara sistematik serta pembangunan analitik data komuniti secara berpusat untuk membuat intervensi bersasar.

“Semua ini sedang digerakkan menerusi pewujudan pangkalan data analitikal komuniti di bawah JPNIN yang dijangka menjadi tulang belakang kepada strategi digital kementerian dalam memperkukuh agenda perpaduan nasional secara lebih holistik dan inklusif,” katanya.