KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) membuat keputusan untuk menambah bilangan pemain import yang dibenarkan bertanding pada Kejohanan Piala Agong 2025.

Setiausaha Agung KRM Fahmy Abd Jalil berkata keputusan itu dipersetujui pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kesatuan badan induk berkenaan, susulan terdapat beberapa ahli gabungan yang membuat permintaan untuk menambah kuota pemain import pada kejohanan itu.

“Kita sudah buat ketetapan untuk membenarkan pasukan yang menyertai Kejohanan Piala Agong 2025 menambah jumlah pemain import. Sebelum ini hanya empat orang pemain, tetapi pada edisi kali ini kita menambah kepada tujuh orang pemain.

“Ia selepas terdapat beberapa ahli gabungan yang mencadangkan untuk menambah pemain import, supaya kejohanan kali ini menjadi mencabar dan lebih banyak pilihan pemain dalam pasukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Fahmy berkata KRM sudah menghantar surat jemputan kepada negeri-negeri bagi menyertai kejohanan berkenaan dan ia dijangka membuka tirainya pada pertengahan Ogos.

Dalam pada itu, Fahmy berkata AGM hari ini turut membincangkan untuk kembali menganjurkan Liga Ragbi Malaysia (MRL) pada tahun 2026.

“Semua ahli gabungan sebulat suara bersetuju untuk kita adakan semula MRL 2026 tetapi ia bergantung kepada peruntukan kewangan dan bajet,” katanya.

MRL diperkenalkan pada 2004 dan menghimpunkan kelab-kelab terkemuka negara seperti Cobra, Keris Conlay, NS Wanderers, Eagles, Serdang Angels, Asas RFC dan Bandaraya Dragons.

Kali terakhir ia dianjurkan adalah pada 2019.