BUTTERWORTH: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menerima dua set tren elektrik (ETS) baharu daripada pembekal yang bernilai RM400 juta dan dijadual digunakan untuk operasi secara berperingkat menjelang tahun depan.
Pengurus Besar Perkhidmatan ETS & Antarabandar Nurul Azha Mokmin berkata kedua-dua tren itu ketika ini masih di peringkat pengujian dan pentauliahan.
Beliau berkata penambahan tren itu dilakukan bagi meningkatkan kualiti dan kapasiti perkhidmatan ETS yang kini menerima permintaan tinggi daripada pengguna.
“Setiap tahun penumpang ETS bertambah 10 peratus. Jadi, kita lihat perkhidmatan itu memberi kepuasan kepada penumpang dan dengan siapnya perkhidmatan laluan Gemas (Negeri Sembilan) ke Johor Bahru (Johor), KTMB akan tambah perkhidmatan tren ETS di beberapa laluan baharu.
“Kita dah beli 10 set ETS yang kita jangkakan perkhidmatan dari Gemas ke Johor Bahru yang akan bermula pada tahun depan dan seterusnya laluan baharu iaitu Johor Bahru ke Butterworth dan Padang Besar (Perlis),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ruby Lounge di Stesen Butterworth di sini yang juga ruang menunggu eksklusif untuk penumpang ETS Kelas Perniagaan dan Edaran Pek Cenderahati sempena Aidiladha oleh Ketua Pegawai Teknikal KTMB Ahmad Nizam Mohamed Amin.
Sementara itu, Nurul Azha memaklumkan lebih 250,000 tiket ETS dan kereta api perkhidmatan antarabandar termasuk tiket tambahan sempena perayaan Aidiladha habis dijual sehingga semalam, sejak ia dibuka untuk jualan dari tempoh 29 Mei hingga 9 Jun.
Beliau berkata ia termasuk jualan 119,000 tiket tren Express Selatan yang melibatkan perjalanan dari Johor Bahru hingga ke Gemas yang mendapat permintaan tinggi.
“KTMB juga meneruskan perkhidmatan tren khas iaitu Ekspres Lambaian Aidiladha bagi laluan KL Sentral-Tumpat dan Tumpat-KL Sentral seperti tahun-tahun sebelumnya, dengan dua perjalanan melibatkan peruntukan 872 tiket pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata perkhidmatan itu menawarkan tambang sehala bermula RM80 hingga RM95 dengan pilihan koc tempat duduk kelas premier, koc tempat duduk kelas superior, koc tempat tidur kelas superior serta kemudahan koc chillax dan koc cafe.
Setakat ini, 762 daripada 872 tiket terjual dan tren akan bergerak mulai malam ini dan kembali ke KL Sentral pada 8 Jun.