• 2025-06-06 10:14 PM

MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat mengucapkan tahniah kepada komuniti Islam di negara itu sempena sambutan Aidiladha, menekankan peranan perayaan itu dalam menghubungkan umat Islam dengan warisan sejarah dan kerohanian mereka, menurut Sputnik/RIA Novosti.

“Perayaan ini, yang menandakan kemuncak ibadah haji ke tanah suci, menyatukan masyarakat dan memberikan kegembiraan kepada umat Islam untuk menghayati warisan sejarah dan kerohanian paling berharga yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka.

“Dengan mengikuti ajaran dan tradisi nenek moyang mereka, umat Islam menyambut Aidiladha dengan melakukan amalan kebaikan dan belas kasihan serta ikhlas mengambil berat terhadap golongan memerlukan,” kata Putin dalam kenyataan yang disiarkan Kremlin.

Putin turut memuji organisasi Islam kerana peranan aktif mereka dalam masyarakat Rusia, terutamanya dalam pendidikan belia, memperkukuh nilai kekeluargaan serta memajukan pelbagai inisiatif berskala besar dalam bidang kebudayaan, pendidikan dan kebajikan.

Beliau turut merakamkan penghargaan khas terhadap sokongan masyarakat Islam kepada anggota tentera Rusia dan keluarga mereka, yang disifatkan sebagai sumbangan yang “sangat dihargai”.