• 2025-07-19 05:42 PM

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) menggesa Kerajaan Perpaduan mempertimbangkan peluasan Kad Pekerja MADANI kepada pesara yang masih memerlukan bantuan menghadapi kos sara hidup.

Presiden KUPEKMAS, Datuk Omar Osman, berkata ramai pesara masih mempunyai tanggungan keluarga dan berdepan kos rawatan kesihatan yang tinggi.

“Golongan pesara juga penting untuk diberikan diskaun dan manfaat melalui Kad Pekerja MADANI kerana ramai antara kami masih menanggung keluarga serta berdepan kos rawatan kesihatan yang tinggi. Kami merayu agar kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertimbangkan peluasan inisiatif ini kepada semua pesara di seluruh negara,“ katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Pesara 2025 di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri.

Kad Pekerja MADANI merupakan kad keanggotaan khas untuk ahli kesatuan pekerja, menawarkan pelbagai diskaun dan faedah hasil kerjasama lebih 100 syarikat terkemuka.

Gesaan Wakil Pesara dalam ALPH

Timbalan Presiden KUPEKMAS, Mohd Shaman Jaes, turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepatkan pelantikan wakil pesara dalam Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH).

“Penyertaan wakil pesara dalam ALPH amat penting bagi memastikan isu sebenar yang dihadapi golongan pesara, khususnya berkaitan akses rawatan kesihatan, dapat disalurkan terus kepada kementerian. Kesihatan merupakan isu utama pesara, di samping cabaran kewangan. Kita tidak mahu suara pesara hanya disampaikan melalui kumpulan bukan pesara yang kurang memahami realiti sebenar,“ tegasnya. - Bernama