KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui agensinya menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menghadapi masalah kewangan melibatkan modal kerja, modal pusingan dan pembiayaan kewangan.

Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Saraswathy Kandasami berkata kemudahan pembiayaan itu diberikan melalui agensinya seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Bank, Bank Rakyat dan Pernas.

“Tekun Nasional menyediakan pembiayaan Tekun Niaga kepada usahawan mikro dengan nilai pembiayaan di antara RM1,000 sehingga RM100,000.

“Amanah Ikhtiar Malaysia menyediakan pembiayaan Skim Pembiayaan Ikhtiar kepada usahawan mikro dan informal dengan nilai pembiayaan di antara RM3,000 sehingga RM30,000.

“SME Bank menawarkan pelbagai program pembiayaan kepada usahawan PMKS meliputi perniagaan permulaan (start-up), perkembangan, dan matang kepada usahawan PMKS dengan nilai pembiayaan di antara RM100,000 sehingga RM5 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan mekanisme kementerian dalam membantu PMKS menangani masalah modal kerja, modal pusingan dan pembiayaan kewangan.

Beliau berkata Bank Rakyat juga menyediakan pelbagai program pembiayaan kepada usahawan PMKS antaranya Skim Pembiayaan BRPlus-i dan Skim Pembiayaan Biz Lady dengan nilai pembiayaan di antara RM5,000 sehingga RM1 juta.

Beliau berkata Pernas turut menyediakan sokongan pembiayaan kepada usahawan francais melalui projek Be Your Own Boss (BYOB) dan Business In Transformation (BIT) dengan nilai pembiayaan sehingga RM500,000.

“SME Bank, Tekun Nasional, Pernas dan Bank Rakyat juga menyediakan bantuan bagi membantu usahawan yang terjejas melalui penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dengan melanjutkan tempoh pembiayaan pada kadar bayaran balik yang berpatutan,” katanya. –Bernama