KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkukuh penyertaan usahawan tempatan dalam sektor francais sebagai antara strategi dan pendekatan ke arah memacu pertumbuhan sektor berkenaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata kerajaan juga menumpukan kepada memperluas penglibatan koperasi sebagai pemain aktif sektor francais serta menyokong agenda pemerkasaan ekonomi rakyat menerusi model perniagaan yang berdaya tahan dan berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan.
“Pendekatan ini juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan ekonomi menyeluruh serta kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ramanan berkata perkara itu dibincangkan pada Mesyuarat Lembaga Penasihat Francais Bilangan 1/2025 yang dipengerusikan beliau hari ini.
Beliau berkata mesyuarat itu melibatkan penyertaan pelbagai pihak antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan agensi kerajaan berkaitan selain pihak berkepentingan sektor francais seperti Persatuan Francais Malaysia (MFA), pakar perundangan dan ahli akademik industri.
“Pelbagai perkara penting telah dibincangkan, khususnya berkaitan pelaksanaan serta pemerkasaan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) yang menjadi kerangka hala tuju pembangunan sektor francais secara mampan, inklusif dan progresif,” katanya.
Ramanan berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk terus memainkan peranan strategik dalam memacu pertumbuhan sektor francais menerusi kerjasama erat bersama semua pihak berkepentingan.
Katanya sokongan berterusan daripada agensi kerajaan, industri dan masyarakat amat penting untuk memastikan sektor francais terus berkembang sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.