• 2025-08-28 02:43 PM

KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan telah mengenal pasti lapan tapak tanah untuk pembangunan Perumahan Awam Sewa Bersubsidi dalam usaha memastikan akses perumahan untuk golongan B40.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif pembangunan di tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.

“Lapan lokasi yang kita kenal pasti ialah Bandar Baru Sentul (0.57 hektar), Taman Desa (7 hektar), pekan Salak Selatan (1.58 hektar), Jalan Selimang, Cheras (1.36 hektar), Tasik Permaisuri (0.41 hektar), Taman Alam Damai (0.45 hektar), Wayfield Sungai Besi (0.82 hektar) dan Taman Desa Seputeh (1.12 hektar),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

Di bawah inisiatif Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, PASS diperkenalkan sebagai langkah menyokong golongan seperti warga emas, ibu tunggal dan individu yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah di Kuala Lumpur.

Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 menetapkan pelbagai strategi termasuk mewujudkan Zon Kediaman R4 seluas 353.53 hektar khusus untuk pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam.

“Kerajaan juga menekankan bahawa pembangunan RMM tidak boleh hanya tertumpu kepada kuantiti semata-mata, tetapi perlu disepadukan dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik, ruang hijau dan pengangkutan awam agar persekitaran hidup lebih berkualiti,” katanya.

Kerajaan melaksanakan pendekatan kerjasama rentas agensi termasuk dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan asnaf memiliki rumah melalui konsep sewa beli.

“Kerajaan juga bekerjasama dengan institusi kewangan yang menawarkan pinjaman antara generasi, membolehkan anak-anak membuat pinjaman bagi pihak ibu bapa yang sudah berusia dan tidak layak mendapat pinjaman perumahan biasa,” katanya.

Selain PASS, program lain seperti Residensi MADANI, PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia dan Satu Anggota Satu Rumah turut digerakkan sebagai sebahagian daripada pelan menyeluruh untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya inklusif. – Bernama